KECEDERAAN KAKI DAN RAWATAN

TENDON ACHILLES

Tendon Achilles adalah jalur tisu yang menghubungkan otot betis (gastrocnemius dan soleus) ke tulang tumit, berfungsi memudahkan anda berjalan dengan mengangkat tumit kaki dari tanah.
Kecederaan yang biasa berlaku adalah Achilles tendinitis dan Achilles tendinosis. Achilles tendinitis merupakan keradangan di tendon Achilles.
Lama-kelamaan, sekiranya kecederaan ini tidak dirawat, ia boleh mengakibatkan kemerosotan tendon (Achilles tendinosis) iaitu tendon kehilangan strukturnya, seterusnya berlaku koyakan mikro pada tendon. Ia juga boleh mengakibatkan koyakan pada tendon.
Kecederaan Achilles sering terjadi akibat peningkatan aktiviti berulang secara tiba-tiba yang melibatkan tendon Achilles seperti berhenti secara mengejut atau mengubah arah gerakan dengan pantas.
Atlet seperti pelari dan pemain tenis berisiko tinggi mendapat kecederaan ini.
Antara simptom-simptom kecederaan yang boleh diambil perhatian adalah seperti:

• Kaki atau pergelangan kaki menjadi kaku atau kebas
• Rasa sakit atau lembut pada tendon Achilles.
• Bengkak pada tendon Achilles
• Mengalami kesukaran untuk berdiri
• Kemerah-merahan atau rasa panas di sekitar kaki atau pergelangan kaki

ANKLE SPRAIN

Ankle sprain merupakan kecederaan yang melibatkan regangan atau koyakan pada satu atau lebih ligamen pergelangan kaki, terutamanya di bahagian tepi pergelangan kaki.
Kebanyakan kes ini berlaku semasa menyertai aktiviti sukan, memakai kasut yang tidak sesuai atau berjalan/berlari di atas permukaan yang tidak rata.
Ia juga boleh disebabkan pergelangan kaki yang lemah/tidak seimbang, berat badan yang berlebihan (obesiti) serta mempunyai kecederaan lama pada pergelangan kaki.

TANDA DAN GEJALA KESAKITAN

• Rasa sakit atau kebas
• Bengkak
• Lebam/berlaku perubahan warna pada pergelangan kaki
• Mengalami kesukaran untuk berjalan
• Kekakuan pada sendi pergelangan kaki

RAWATAN (Protocol R.I.C.E)
REST – Rehatkan pergelangan kaki anda dengan tidak melibatkan diri dalam aktiviti yang boleh menyebabkan kesakitan. Gunakan topang/tongkat sekiranya perlu ICE – Letakkan ais selama 10-15 minit, 3-5 kali sehari untuk mengurangkan bengkak dan sakit. COMPRESSION – Balut bahagian yang cedera dengan pembalut elastik. Pastikan balutan tidak terlalu ketat dan pakai sehingga bengkak berkurangan ELEVATION – Letakkan bantal di bawah pergelangan kaki

METATARSALGIA

Ia merupakan kecederaan yang menyakitkan di kawasan metatarsal atau ball of the foot.
Salah satu punca kecederaan ini adalah pemakaian kasut yang tidak sesuai seperti kasut terlalu ketat atau sering bertumit tinggi.
Aktiviti yang melibatkan larian dan lompatan atau menjalankan aktiviti dalam tempoh yang lama boleh meningkatkan beban tekanan yang diletakkan di kawasan ini.
Lama-kelamaan, tulang metatarsal menjadi bengkak dan sakit.
Antara simptom-simptom kecederaan ini adalah rasa sakit atau lembut pada permukaan tapak metatarsal.
Kesakitan bertambah teruk apabila anda berdiri atau berjalan tanpa memakai kasut/selipar terutamanya pada permukaan yang keras dan kasar. Kalus mungkin terbentuk pada tapak kaki anda.

PLANTAR FASCIITIS

Merupakan bengkak atau radang terhadap tisu yang menyokong lengkungan kaki yang dikenali sebagai fascia.
Fascia atau tisu pada tapak kaki terdiri daripada jalur berserabut tisu tebal di bahagian tapak kaki yang menghubungkan tulang tumit anda ke jari kaki anda.
Tekanan dalam tempoh yang lama atau berlanjutan seperti berjalan terlalu jauh atau berdiri terlalu lama boleh menyebabkan kecederaan dan keradangan.
Masalah tapak kaki rata atau terlalu melengkung serta pemilihan kasut yang tidak sesuai seperti tiada penyokong lengkungan tapak kaki serta bertumit tinggi juga boleh mencetuskan kesakitan.
Ia juga boleh disebabkan berat badan yang berlebihan, otot betis yang lemah serta penggunaan yang berlebihan pada kaki atau regangan secara tiba-tiba pada tapak kaki seperti latihan yang tidak sesuai, meningkatkan intensiti latihan secara mendadak.
Kesakitan ini biasanya akan dirasai pada waktu pagi terutamanya apabila anda bangun daripada tidur.
Anda juga akan turut merasai sakit yang tajam, menyucuk dan kadangkala berdenyut, terutamanya di bahagian dalam tumit.

TARSAL TUNNEL SYNDROME

Kecederaan ini berlaku apabila saraf utama (posterior tibial nerve) yang pergi ke kaki rosak akibat tekanan yang berterusan.
Ianya sama dengan carpal tunnel syndrome, yang berlaku di pergelangan tangan. Kedua-dua kecederaan ini berlaku akibat tekanan saraf di ruang yang sempit.
Masalah tapak kaki yang rata boleh mencetuskan kesakitan kerana ia boleh meregangkan saraf tibia.
Selain itu, kecederaan seperti kaki terseliuh boleh mengakibatkan inflamasi dan bengkak berdekatan dengan saraf, yang membawa kepada kecederaan.
Tekanan yang berterusan seperti berlari, berjalan terlalu jauh atau berdiri, mempunyai berat badan yang berlebihan serta menghidap penyakit seperti diabetes atau arthritis juga merupakan punca berlakunya kecederaan ini.
Simptom sindrom ini biasanya dirasakan di bahagian dalam kawasan kaki seperti sakit yang tajam, menyucuk, kebas serta membakar.

TURF TOE

Turf toe merujuk kepada kecederaan/keseliuhan ligamen di sekitar ibu jari kaki.
Ia berlaku apabila kaki anda membengkok di luar jangkauan gerakan normalnya.
Ia sering terjadi di dalam aktiviti sukan, terutamanya bola sepak dan futsal yang bermain di atas padang rumput tiruan.
Pergerakan seperti berhenti secara tiba-tiba, menukar arah serta memakai kasut yang salah semasa bersukan juga boleh mengakibatkan kecederaan. Ia menyebabkan koyakan pada ligamen yang menyokongnya.
Penari ballet, pemain bola keranjang, ahli gimnastik serta ahli gusti juga berisiko untuk mendapat kecederaan ini kerana mereka bermain secara berterusan pada permukaan yang keras.
Kecederaan ini adalah jenis keseliuhan sendi metatarsophalangeal (MTP) yang melibatkan kecederaan pada tisu atau lebih daripada satu sendi yang menghubungkan jari kaki kepada tapak kaki.
Antara simptom-simptom kecederaan ini adalah bengkak di sekitar ibu jari kaki, pergerakan ibu jari kaki yang terhad serta kaku, serta rasa sakit apabila anda hendak meluruskan ibu jari kaki.

SENAMAN UNTUK KECEDERAAN PLANTAR FASCIITIS

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *